| Hikmah , Ilmu dan Makrifat |
![]() Syaikh Abdul Qadir Bin Musa Al Jailani, seorang ulama terkemuka kelahiran Tabaristan, Iraq pada 1 Ramadhan 471 H, dikenali juga sebagai Sultannya para Wali Allah. Ramai orang yang membaca manaqib atau sejarah kehidupan beliau melalui kitab Lubabul ma’aani, bahkan ada yang menjadikannya sebagai wirid bacaan mingguan bahkan harian, walau ramai yang tidak faham isi kitab tersebut. Dalam kitab tersebut banyak diceritakan tentang kewaraan, kejujuran dan kekuatannya dalam beribadah juga kelebihan-kelebihan atau keramat yang banyak, samada ianya benar atau tidak, wallahu a’lam. Pada suatu masa terjadilah trend gaya hidup bahwa ramai para lelaki rajin beribadah , banyak sembahyang sunat, banyak berzikir dengan menyendiri di dalam gua selama berhari-hari, hingga pada suatu masa datanglah sebuah lembaga besar dengan sinarnya dan berkata kepada setiap lelaki yang bertapa tersebut : “ Wahai hambaku yang rajin ibadah, Akulah tuhanmu! sudah tiba masanya engkau menghentikan kegiatan jenis ibadah kamu, kerana engkau sudah melepasi tahap yang aku tentukan, silakan nikmati perkara-perkara yang asalnya aku haramkan kepada kamu ! “ Maka ramailah dari para lelaki ini yang mendengar dan menerima tawaran di atas juga tawaran untuk berhenti sembahyang kerana ianya telah mencapai darjat yang tinggi dan sembahyang itu hanya ibadah zahir sahaja. Tibalah masanya lembaga tersebut mendatangi Syaikh Abdul Qadir dengan keadaan dan ucapan yang sama disampaikan kepada semua petapa di semua gua-gua yang ada di negeri Iraq tersebut. Maka dengan ilmu yang ada pada diri beliau, beliau menjawab dan menghalau lembaga tersebut dengan katanya “Ikhsya’ yaa Laiin ! “, berambuslah engkau wahai syaitan yang terlaknat ! Maka lembaga tersebut terperanjat dan bertanya, bagaimana awak tidak mahu menerima tawaran kemurahan aku ? sedangkan ramai kawan-kawan awak sudah menerima tawaranku…. Syaikh menjawab : kerana aku tahu bahwa Allah tidak akan memerintahkan untuk berbuat yang tidak layak atau keji, engkau telah halalkan perkara yang Allah haramkan, bermakna engkau bukan tuhan tapi syaitan yang terkutuk. Syaitan berkata: Selamatlah engkau wahai Abdul Qadir dengan ilmumu itu", maka Syaikh Abdul Qadir menjawab :" Bukan ilmuku yang selamatkan aku, tetapi Allah yang selamatkan aku." Di sini kita boleh mengambil hikmah dan melihat dari cerita di atas : · Ilmunya Syaik Abdul Qadir yang menjawab pertanyaan syaitan dengan jawaban yang diambil dari Al Qur’an surah Al A’raaf : 28 yang ertinya : “...Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji, yang tidak patut . Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?". · Jika seseorang ingin belajar agama Islam, belajarlah dari peringkat awal, kuatkan dulu ilmu akidahnya tentang ketuhanan, itulah pesanan pertama Luqman Al Hakim pada anaknya,” janganlah engkau sekutukan Allah!” ( QS Luqman : 13 ), Ianya pesanan ilmu akidah yang mendalam. · Tiga peringkat ilmu agama yang perlu dicari secara berurut adalah : ilmu akidah, ilmu ibadah dan makrifat / tariqat. · Jika hendak berguru soal agama, silalah berhati-hati, telitilah latar belakang pendidikan sang guru, pastikan guru tersebut dikenali orang ramai akan keilmuannya, harap tidak berguru kerana ikut-ikutan kerana ramainya pengikut. · Jika berguru dan menerima sesuatu ajaran dari guru, harap pastikan kebenaran sumbernya, silakan rujuk kepada orang yang lebih alim, harap tidak menerimanya bulat-bulat. · Jika hendak berguru, bergurulah dan beramallah di tempat yang diketahui orang ramai, bukan sembunyi-sembunyi. Ini lain dengan ibadah yang sebaiknya dilakukan secara tersembunyi untuk menjaga keikhlasan seseorang seperti sedekah sunat atau solat sunat malam. · Jika dengan banyak berzikir dan solat boleh mendapatkan kemudahan untuk melakukan perkara yang dilarang agama, atau tidak perlu melakukan solat lagi, maka sebenarnya Rasulullah SAW lah orang pertama yang mendapat kemudahan dan kemurahan tersebut, namun kita ketahui bahwa Rasulullauh SAW tidak pernah meninggalkan solatnya hingga akhir hayatnya. · Ajaran sesat, ajaran syaitan ada di mana-mana dan bila masa sahaja, maka berhati-hatilah ! jagalah diri kita dan keluarga kita, agar selamat dunia akhirat !. Wallahu A’lam dan semoga bermanfaat Muhammad Zuhal Abdul Lathif. IIUM Gombak, Selangor, 14 Julai 2010 |
| Last Updated on Monday, 24 January 2011 12:31 |
